Sabtu, 18 April 2020

Dijemput Hantu

Wawan Setiawan Tirta

Nek Siti Dijemput Hantu (Kisah Seram)

 
Salam sejahtera saya ucapkan. Saya ingin berkongsi satu cerita yang pernah saya dengar dari ibu saya. Kejadian ini berlaku di sebuah kampung di Malaysia pada tahun 1960an semasa ibu saya masih remaja. Ini adalah cerita benar dan sama sekali bukan sebuah rekaan.

Kejadian ini berlaku pada salah seorang saudara ibu saya. Namanya Nek Siti. Nek Siti adalah seorang penjual Nasi Lemak di salah sebuah sekolah di kampung itu. Tiap-tiap hari Nek Siti akan menemani anak menantunya yang baru melahirkan. Jarak rumah Nek Siti dan rumah menantunya lebih kurang 500 meter. Jadi, tiap-tiap hari sebelum Maghrib, Nek Siti akan ke rumah menantunya untuk menjaga anak yang baru lahir.

Pada suatu hari, sebelum Nek Siti keluar untuk pergi ke rumah anak menantunya, dia berpesan pada suaminya, Tok Daud. Katanya "Bang jangan lupa nanti ambil saya pukul 5 pagi". Selepas berpesan, Nek Siti pun menuju ke rumah anak menantunya. Pada malam itu sedang semuanya sedang tidur, kedengaran suara Tok Daud memanggil Nek Siti.

"Ti oh Ti, Ti!" terdengar suara Tok Daud.

Anak menantunya yang terdengar suara itu mengejutkan Nek Siti yang sedang nyenyak tidur.

"Mak oh Mak, Wak dah datang tu. Oh Mak, bangun" kata anak menantunya.

Nek Siti pun bangun. Tanpa memandang ke arah jam dinding, Nek Siti pun mencapai selendangnya dan membuka pintu rumah. Ternampak seorang lelaki yang saling tak tumpah seperti Tok Daud berdiri agak jauh dari pintu rumah itu. Nek Siti pun berjalan mengikut lelaki yang disangkakan Tok Daud.

Yang peliknya, kali ini Tok Daud berjalan jauh mendahului Nek Siti tanpa berkata-kata. Dia ada memegang lampu suluh yang agak kecil. Nek Siti yang sudah agak tua tercungap-cungap cuba berjalan sepantas Tok Daud.

"Bang, oi Bang, tunggu. Kenapa jalan cepat sangat ?" tanya Nek Siti.

Tiba-tiba lelaki yang berjalan di hadapan Nek Siti itu lenyap dari pandangan Nek Siti. Alangkah terperanjatnya Nek Siti. Nek Siti menjadi takut dan kakinya menggeletar. Dia pun menguatkan dirinya dan berjalan pulang ke rumahnya yang berdekatan dengan tempat kejadian.

Nek Siti mengetuk pintu sekuat yang dia mampu dan berteriak memanggil suaminya Tok Daud yang rupa-rupanya sedang nyenyak tidur di dalam rumah. Rupa-rupanya jam baru pukul 3 lebih pagi dan lelaki yang menjemput Nek Siti itu bukanlah Tok Daud. Khabarnya, Nek Siti terus demam dan tidak dapat berniaga di sekolah selama beberapa hari.

Wallahualam.


Read more: